hiasan |
DUNGUN: Hasrat seorang ibu untuk melihat anaknya berjaya ke menara gading terkubur setelah anak lelakinya itu meninggal dunia hari ini selepas lima hari koma akibat kemalangan jalan raya Jumaat lalu.
Mohd Nor Alif Harun, 17, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar di sini meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu awal pagi ini.
�Hasrat anak saya untuk menyambung pelajaran serta menyara keluarga tidak tercapai. Dia dimasukkan ke ICU HSNZ setelah kemalangan jalan raya sewaktu pulang dari solat Jumaat � kata Sara Ramli, 56, ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Gong Pasir di sini.
Katanya ketika kejadian anaknya sedang menyertai Kem Kecemerlangan SPM dianjurkan pihak sekolah di Mayang Sari Resort dan kemalangan berlaku ketika sedang membonceng motosikal rakannya apabila dirempuh sebuah motosikal lain.
Menurutnya, sebelum menyertai kem itu pada Khamis, anak bongsunya itu daripada lapan beradik sempat berpesan kepadanya supaya menganggap abangnya, Muhammad Suffian, 23, sebagai pengganti dirinya jika dia sudah tiada.
�Sambil dia peluk mak cik, dia cakap yang dia sayangkan mak cik sangat-sangat dan dia belajar�nak berjaya demi mak cik,� katanya.
Bapa pelajar itu, Harun Abu bakar, 70, berkata beliau tidak menyangka pertemuannya dengan anaknya di Masjid Pak Sabah semasa solat Jumaat merupakan pertemuan terakhir mereka.
�Saya tak sangka dia akan solat di masjid yang sama dengan saya, sebab saya ingatkan dia pergi solat di Masjid Sura Jetty kerana ia berhampiran dengan Mayang Sari Resort.
�Dia sempat tegur saya di masjid tersebut dan setelah pulang ke rumah, saya terkejut bila ada orang datang bagi tahu anak saya kemalangan,� katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Sultan Omar, Md Zain Muda berkata kehilangan arwah sangat dirasai seluruh warga sekolah dan ini merupakan kali pertama beliau kehilangan seorang calon peperiksaan sepanjang perkhidmatannya sebagai seorang guru.
�Kehilangan beliau (arwah) sangat dirasai, terutamanya bagi rakan sekelas beliau yang sangat rapat dengan arwah dan beliau seorang pelajar yang baik,� katanya. � BERNAMA
0 comments:
Post a Comment